Friday, 5 September 2014
PERBANDINGAN DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM
Pendahuluan
Dasar penerapan nilai-nilai Islam yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982, tidak dapat dinafikan masih mempunyai kesannya hingga sekarang. Meskipun dasar itu sudah tidak dilaksanakan lagi, namun dalam konteks pembangunan insan dan pembangunan material, dasar berkenaan telah merubah secara fundamental lanskap negara dari segi ekonomi, politik, pendidikan, budaya kerja dan perilaku pentadbir negara. Dalam aspek pembangunan insan, penerapan nilai-nilai Islam yang diambil daripada prinsip-prinsip Islam seperti amanah, tanggungjawab, bersih, tekun dan disiplin diimplementasikan menerusi pembinaan jatidiri umat Islam dan kakitangan kerajaan untuk lebih menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Sedangkan dalam aspek pembangunan material, ia dilaksanakan dalam bentuk mewujudkan institusi pendidikan Islam atau sistem pendidikan yang berpaksikan kepada Islam (UIA, KBSM, SAR), sistem kewangan Islam (Bank Islam, Takaful) dan pembinaan masjid-masjid sebagai mercu tanda orang Islam.
Islam Hadhari merupakan satu lagi dasar pembangunan negara yang dilihat berteraskan Islam yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Amad Badawi. Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang berteraskan kepada pembinaan tamadun bagi umat Islam, khususnya dan seluruh rakyat Malaysia pada umumnya. Selain merupakan pendekatan yang menepati kehendak syarak, Islam Hadhari adalah bertujuan untuk menambahbaikkan dasar Islam sedia ada, dan tidak merubah prinsip asas dan nilai-nilai teras dalam Islam. Islam Hadhari juga menawarkan satu pendekatan yang sederhana untuk menghayati prinsip-prinsip Islam yang syumul berasaskan intelektual, rasional, praktikal, mementingkan kemajuan dan mengutamakan kerohanian. Pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan ini juga bertujuan untuk mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan pemikiran dan kemiskinan, di mana kedudukan umat Islam di mata dunia seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah tersebut. Walaupun pegangan akidah mereka kuat dan mempunyai ramai golongan yang berilmu, namun mereka masih tidak mampu untuk bangkit dari permasalahan yang melanda umat Islam dan tidak berupaya untuk menjadi umat yang maju di dalam segala bidang.
Tulisan ini membincangkan beberapa aspek yang berkaitan dengan dasar Islamisasi yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan sebagai agenda negara. Penggunaan idea keislaman ini dalam usaha pemerintah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat Islam terutama menerusi dasar penerapan nilai-nilai Islam dan pendekatan Islam Hadhari. Perbincangan ini akan melihat bagaimana dasar dan pendekatan kerajaan ini mampu mempengaruhi percaturan politik negara berhubung isu Islamisasi yang sesuai diterapkan di negara ini.
Latar belakang dasar penerapan nilai-nilai Islam
Fenomena kebangkitan Islam di seluruh dunia, antara faktor utama yang menjadi pencetus pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia(1). Sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Julai 1981, beliau mengeluarkan dasar yang meletakkan Islam sebagai roh utama dalam pentadbirannya pada tahun 1982. Satu era permulaan yang menjadikan Malaysia dikenali dunia sebagai negara yang lebih Islamik tanpa menjadikannya sebagai negara Islam(2). Perbezaan yang ketara antara beliau dengan Perdana Menteri sebelumnya terletak pada pemahaman dan sensitiviti masing-masing terhadap Islam. Tiada catatannya dalam sejarah Malaysia, pemimpin politik tertinggi negara mengeluarkan dasar yang memberi tempat yang sewajarnya kepada Islam untuk dilaksanakan secara luas dan terperinci selain apa yang dibuat oleh Tun Mahathir pada era pemerintahannya. Keputusan ini diisytiharkan secara terbuka sebagai satu dasar baru mengenai kedudukan dan peranan Islam dalam masyarakat sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial di Malaysia.
Bagaimanapun, ada juga satu penilaian bahawa dasar itu lebih berasaskan kepada motif politik iaitu untuk mengekang ideologi politik Islam(3)yang semakin bertapak di kalangan masyarakat Islam Melayu terutama apa yang ditunjukkan oleh pertubuhan-pertubuhan sukarela yang mempunyai nafas Islam seperti ABIM, Jamaah Tabligh dan Darul Arqam. Perkara yang sama juga kerana PAS, sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam dan sebagai musuh tradisi UMNO, mengalami perubahan orientasi politiknya ekoran berlakunya pergantian pucuk pimpinan di dalam parti itu(4). Namun demikian, pandangan seperti ini dipertikaikan oleh sesetengah sarjana tempatan yang menyatakan bahawa dasar Islamisasi itu dilaksanakan bukan semata-mata pertimbangan faktor politik, akan tetapi juga harus mengambil kira faktor-faktor lain(5).
Faktor-faktor lain yang banyak mempengaruhi dasar ini adalah para pemimpin UMNO mula menyedari bahawa Islam tidak lagi hanya sebuah agama yang menekankan kepada aspek ritual sahaja sebagaimana yang difahami kaum ortodoks, namun Islam juga mesti difahami sebagai ad deen (way of life). iaitu yang meliputi seluruh aspek kehidupan politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain sebagainya(6). Walau demikian, mereka tetap menolak cita-cita negara Islam memandangkan struktur masyarakat Malaysia yang majmuk. Sebahagian elit UMNO juga percaya bahawa Islam merupakan formula yang paling sesuai bagi menangani masalah perkauman dan integrasi nasional. Pendekatan ini tentu sangat berbeza dan menyimpang dari tradisi pemikiran politik parti kerajaan yang selama ini melihat aspirasi Islam politik akan membawa kesan negatif ke atas hubungan kaum(7).
Objektif utama dasar ini adalah untuk menanamkan semangat cintakan nilai-nilai suci dalam Islam, menghormati kebaikan dan bencikan keburukan, membentuk sikap yang berguna kepada negara, menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan, menghasilkan perkhidmatan yang bermutu, melatih diri dengan disiplin tinggi dan menjalankan amanah dengan dedikasi(8). Dengan begitu, penanaman nilai-nilai Islam ini akan memudahkan usaha untuk mewujudkan kesedaran di kalangan umat Islam demi mencapai tujuan meninggikan lagi syiar Islam di Malaysia. Dari sudut lain, penerapan nilai-nilai Islam adalah satu pendekatan baru bagi mengubah sikap umum masyarakat termasuk perjuangan hidup, cara bekerja, sifat tanggung jawab dan amalan yang dilakukan oleh mereka sepanjang hayat.
Rasional dasar penerapan nilai-nilai Islam
Masyarakat Malaysia terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan kaum dan agama semuanya dijamin dalam perlembagaan untuk menjalankan cara hidup dan keyakinan masing-masing secara bebas dan tanpa paksaan. Pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan negara. Tanpa nilai-nilai yang diterima secara universal ini, maka masyarakat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai asing yang bercangggah dengan budaya dan amalan tempatan. Ancaman terdedahnya budaya asing ini akan memberi kesan terhadap kesetiaan dan identiti kebangsaan warganegaranya. Jika ini berlaku, maka maruah dan kebanggaan terhadap nilai-nilai murni bangsa tidak dijunjung tinggi, yang seterusnya berakibat kepada munculnya sikap menyanjung dan memuji bangsa asing dan memperkecil-kecilkan identiti bangsa dan negara sendiri.
Dalam usaha untuk memelihara maruah warganegara Malaysia, maka dianggap perlu ia mempunyai satu identiti yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting sekali dalam pembentukan identiti warganegara Malaysia ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh(9).
Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu diasaskan kepada kehendak dan ajaran Islam bagi membentuk sebuah negara yang produktif yang disertai dengan sikap moral yang tinggi. Nilai-nilai Islam boleh menjadi penggerak ke arah membanteras unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara seperti fahaman komunis, ajaran sesat, kemiskinan, rasuah, kecuaian, kejahilan, penyelewengan dan pelbagai sifat buruk yang sentiasa mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan pembangunan negara.
Definisi konsep nilai-nilai Islam
Pentadbiran dipilih sebagai komponen utama dasar ini ialah bagi melicinkan pelaksanaan sesuatu dasar dan atas kesedaran bahawa kejayaan rancangan-rancangan kerajaan banyak bergantung kepada penjawat-penjawat perkhidmatan awam. Penghayatan kepada nilai-nilai Islam akan dapat menjamin kelancaran dan kecekapan jentera kerajaan serta menghindar perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Nilai-nilai tersebut iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia, dan bersyukur. Kesemua nilai itu merupakan nilai-nilai Islam yang dipilih memandangkan ia merupakan kunci kejayaan pentadbiran sesebuah negara. Berikut huraian tentang takrif atau pandangan mengenai sikap dan budaya kerja berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam pentadbiran awam(10).
Amanah
Amanah merupakan satu nilai murni ajaran Islam yang berkait rapat dengan ciri-ciri utama kepimpinan. Dalam konteks ini, amanah yang diberikan kepada penjawat awam mesti lah berpandukan kepada kesedaran bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Bagi menjayakan tugas yang dipertanggungjawabkan, maka prasyarat utamanya adalah ia mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan tugas berkenaan. Dengan tersedianya pengetahuan ini, maka ia dapat lebih mengutamakan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi. Maka dengan begitu, penjawat awam dapat mengelakkan daripada penyelewengan tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang, peralatan dan tenaga kerja.
Tanggungjawab
Menerima hakikat bahawa setiap tugas yang diterima dan amanah adalah dipertanggungjawabkan. Tidak hanya di hadapan majikan, tetapi yang penting adalah pertanggungjawaban di hadapan Allah sebagai penciptanya di hari akhir kelak. Dengan memegang teguh nilai ini, pentabir akan mempunyai sikap bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja ketika diperlukan. Tanggungjawab juga bermakna untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi atau institusi awam di mana ia bekerja serta bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
Ikhlas
Apabila sikap ikhlas menjadi pegangan dan amalan kakitangan awam, maka setiap menjalankan tugas yang diberikan ia tidak mengharapkan apa-apa balasan dari manusia melainkan mengharapkan balasan daripada Tuhan semata-mata. Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, mencari rezeki yang halal serta mencari keredhaannya dan mengikis sebarang unsur mementingkan diri sendiri dalam melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah.
Dedikasi
Dedikasi bermakna bahawa penjawat perlu memiliki kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah peraturan-peraturan yang ada. Ia juga komited kepada sebarang perubahan yang positif dan demi untuk kebaikan bersama. Mempunyai sikap inisiatif dan proaktif dalam menjalankan tugas-tugas yang diberikan.
Sederhana
Nilai sederhana yang dimaksudkan adalah menjamin perseimbangan equilibriumantara diri sendiri dan tugas. Ia perlu untuk menghasilkan keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira fakta-fakta yang terdapat di alam sekitar. Sikap ini juga mendorong terbentuknya sifat rajin dan gigih mempelajari serta menghasilkan kerja yang memuaskan semua pihak sehingga mencapai tahap cemerlang.
Tekun
Berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap kesempurnaan dalam tugas dan kehidupan serta rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk meningkatkan cara kerja. Dengan menghayati nilai-nilai ini, maka penjawat awam boleh meningkatkan imej perkhidmatan organisasi.
Bersih
Penekanan nilai ini adalah mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas harian. Ia juga bertujuan membentuk amalan kebersihan pakaian, bangunan, alam sekitar dan bersih dalam pemilikan harta sebagai cara hidup. Berkhidmat demi kebajikan semata-mata dan menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan.
Berdisiplin
Nilai ini menekankan kepada penjawat untuk mengamalkan cara bekerja yang kemas, terancang, mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi. Dengan mengamalkan sikap ini, maka ia boleh mengetahui prioriti tugas dan mendahulukan yang lebih utama serta menepati masa dan janji.
Bekerjasama
Penjawat awam dituntut untuk mengamalkan sikap saling tolong menolong dalam melaksanakan kerja dan sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi sebagai bahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama. Dengan begitu, penjawat awam dapat mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan dan mengelakkan konflik kepentingan peribadi yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.
Berbudi Mulia
Nilai ini menekankan kepada budi bahasa yang tinggi dengan selalu bersikap bermanis muka sepanjang masa terutama ketika menghadapi pelanggan atau pelawat. Bertimbang rasa, bertolak ansur, menghormati rakan sejawat dan sentiasa berinisiatif untuk menolong pelanggan atau pelawat.
Bersyukur
Pentadbir mesti memiliki sikap bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat. Ia juga berusaha untuk menghayati budaya kerja yang sopan dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama seperti selalu berpikiran positif, gigih dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat, tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia. Pentadbir juga perlu mempunyai pemikiran bahawa berkhidmat untuk negara merupakan sebahagian daripada ibadah agar cita-cita menjadi manusia yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat, agama dan negara dapat tercapai.
Sasaran utama penerapan nilai-nilai Islam
Skop yang hendak dicapai dalam pelaksanaan penerapan nilai-nilai Islam adalah wilayah pentadbiran sebagai bidang yang diberi keutamaan. Langkah untuk menerapkan dasar ini dalam pentadbiran diyakini menjadi asas yang berkesan untuk membina generasi yang bermoral di masa yang akan datang sebagaimana yang ditekankan dalam prinsip ajaran Islam. Sebagai nadi utama dalam sesebuah kerajaan, Islamisasi dalam bidang pentadbiran menjana satu sikap dan budaya kerja yang efesien dan bertanggung jawab dalam menjalankan amanah tugas-tugas yang diberikan. Pemilihan di bidang pentadbiran ini berasaskan tanggungjawab kerajaan yang utama terhadap jentera pentadbirannya yang menjadi saluran penting dalam melaksanakan sesebuah dasar. Hal ini juga dilakukan sebagai langkah permulaan bagi menjalankan usaha-usaha yang lebih besar sehingga akhirnya dapat membentuk sebuah negara yang kuat. Dengan wujudnya pentadbiran yang berkonsepkan prinsip Islam, maka diyakini nilai-nilai Islam dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa(11).
Usaha menjadikan bidang pentadbiran sebagai tunggak utama dalam reformasi budaya kerja ini juga menghasilkan satu slogan yang dikenali dengan akronim Bersih, Cekap dan Amanah (BCA). Pendekatan ini ditekankan untuk menghapus amalan rasuah, meningkatkan efesiensi pentadbiran, menstruktur semula syarikat-syarikat kerajaan yang salah urus dan tidak mengaut keuntungan, dan mengekang pertelingkahan politik di kalangan kerajaan persekutuan dan negeri(12). Untuk lebih memperkukuh dan melaksanakan program secara berkesan ini, Tun Mahathir Mohammad juga melancarkan kempen Kepimpinan melalui Teladan. Menurut beliau, slogan bersih, cekap dan amanah akan bermakna jika para pemimpin sama ada di kalangan pemimpin parti politik mahupun penjawat awam, memiliki dan mengamalkan secara bersungguh-sungguh nilai-nilai murni tersebut(13).
Bagi menjayakan dasar ini, satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang diberi nama Lembaga Bersama Penyelarasan Kegiatan Islam Malaysia dengan dibantu oleh jawatankuasa teknikal. Tugas yang diberikan jawatankuasa ini adalah menyusun langkah-langkah yang diperlukan untuk perhatian dan tindakan semua pihak yang terbabit dalam rancangan ini dari semasa ke semasa. Salah satu tugasan itu adalah memberikan satu penerangan terhadap semua pegawai-pegawai kanan di setiap negeri untuk memberi kefahaman dalam melaksanakan dasar ini. Mereka juga melakukan kerjasama dengan media massa untuk menyampaikan maklumat mengenai nilai-nilai ini kepada seluruh rakyat. Di samping kakitangan kerajaan, golongan pelajar juga menjadi sasaran utama dalam pelaksanaan penerapan nilai-nilai Islam ini(14).
http://ummatanwasatan.net/2008/11/perbandingan-dasar-penerapan-nilai-nilai-islam-dan-pendekatan-islam-hadhari-bhg-1/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment